Blog Raktra @Facebook

Terkini di blog Raktra

Sunday, October 9, 2016

BN Johor Masih Kekal Majoriti 2/3

Badan Perhubungan UMNO Johor menafikan Barisan Nasional (BN) di negeri itu hilang kuasa majoriti dua pertiga susulan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Shahruddin Salleh meninggalkan UMNO.
Setiausaha Perhubungan, Datuk Md Jais Sarday, berkata dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang BN Johor hilang kuasa majoriti dua pertiga juga tidak tepat kerana BN masih mempunyai kuasa majoriti dua pertiga kerana mempunyai 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, beliau sudah mendapat pengesahan dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang menjelaskan BN masih mempunyai kuasa dua pertiga kerana mempunyai 37 kerusi manakala pembangkang 19 kerusi.
“Di Johor ada 56 kerusi. Jika hendak mendapat kuasa majoriti dua pertiga, perlukan 36 kerusi. BN sekarang ada 37 kerusi, maka BN masih ada kuasa majoriti dua pertiga.
“Bermakna apa yang didakwa pembangkang itu sebenarnya tidak tepat. Mereka hanya hendak mewujudkan suasana panik kepada rakyat Johor. BN Johor masih ada kuasa majoriti dua pertiga,” katanya hari ini.
PPBM dan Parti Amanah Negara semalam mendakwa BN Johor kehilangan kuasa majoriti dua pertiga buat pertama kali dalam sejarah susulan Shahruddin keluar UMNO selepas dilantik menjadi Setiausaha Agung PPBM.
Md Jais turut mengesahkan baki 37 ADUN BN di Johor merangkumi 31 ADUN UMNO, dua dari MCA, satu ADUN GERAKAN dan tiga MIC turut menyatakan taat setia kepada parti dan kepemimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin. (BH) – www.umno-johor.com

Wednesday, July 29, 2015

Rombakan bukan untuk dirai - Shabery

Rombakan Kabinet yang diumumkan semalam bukan untuk diraikan, sebaliknya tanggungjawab yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada pemimpin untuk bekerja keras menguatkan kembali parti dan kerajaan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Datuk Seri Najib Tun Razak ibarat seorang pengurus pasukan bola sepak yang perlu melakukan pertukaran pemain bagi memastikan pasukan kendaliannya dapat terus menunjukkan prestasi yang baik.

Sehubungan itu katanya yang dilantik sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, setiap pemimpin baharu perlu melaksanakan tanggungjawab masing-masing manakala bagi pemimpin yang digugurkan, mereka harus menerima hakikat itu.

“Bagi kami sebagai ahli politik, ini umpama pasukan bola sepak, pengurus mestilah memikirkan pasukan yang kuat, boleh bermain secara berpasukan bukan soal pemain handalan sahaja.

“Jadi, dalam soal ini, kita mesti menerima pengurus boleh memasukkan pemain baharu dan mengeluarkan yang lama meskipun dia adalah pemain handalan,” katanya ketika ditemui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil di kediamannya di sini.

Beliau mengulas rombakan Kabinet yang menyaksikan pertukaran pemimpin dalam kerajaan termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri yang kini dipegang Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

29/7/2015

Sunday, June 28, 2015

4 nelayan Kemaman dikhuatiri hilang di laut

Oleh: RAIHAM MOHD SANUSI
KEMAMAN – Sebuah bot dinaiki empat nelayan yang keluar menangkap ikan di sekitar perairan Pantai Geliga dikhuatiri hilang di laut selepas tidak pulang dan gagal dihubungi sejak awal pagi Jumaat lalu.

Kesemua mangsa yang merupakan saudara-mara iaitu Azuari Muda @ Abu Bakar, 41; Mohd Zawawi Seman, 36, dan tekong bot, Abdul Wahab Tekak, 57, serta anaknya, Mohd Nasri Abdul Wahab, 29, keluar ke laut pada jam 6 pagi pada 21 Jun lalu.

Kali terakhir bot kelas B yang dinaiki kesemua mangsa dilihat oleh nelayan lain sedang menangkap ikan dalam jarak lebih kurang enam batu nautika daripada Pantai Geliga, dekat sini, pagi jam 3.30 petang Khamis lalu.

Namun, lebih enam jam kemudian iaitu kira-kira jam 12.30 tengah malam kesemua mangsa gagal dihubungi oleh ahli keluarga dan mereka tidak pulang sehingga pagi Jumaat.

Bapa Azuari, Muda@Abu Bakar Salleh, 67, berkata, berikutan gagal dihubungi dia bertindak mencari di jeti Kampung Geliga kira-kira jam 7 pagi namun hampa apabila pemilik jeti tempat bot anaknya itu berlabuh memberitahu bot yang dinaiki anaknya itu tidak muncul.

“Namun hingga ke pagi semalam (Sabtu), bot itu tetap tidak sampai-sampai jadi saya minta tolong pemilik bot laju dan dia pergi meninjau sekitar kawasan bot anak kali terakhir dilihat iaitu enam batu nautika dari Pantai Geliga.

“ Tapi kelibat bot tidak ditemui jadi saya buat laporan polis pada jam 11.30 pagi di Balai Polis Chukai untuk mohon bantuan,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kampung Geliga, semalam.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa segera dilancarkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) mula dilancarkan petang kelmarin menggunakan dua buah Kapal Maritim (KM) iaitu KM Kilat dan KM Gemia dengan tumpuan kerja mencari dilakukan di sekitar kawasan yang dipercayai tempat biasa bot berkenaan menangkap ikan.

Usaha mencari dipergiatkan lagi apabila sebuah bot nelayan yang diketuai seorang tekong dan 11 awak-awak mula bergerak ke laut kira-kira jam 9.30 pagi semalam dengan membawa bersama bekalan makanan untuk tempoh seminggu bagi membantu pihak Maritim mencari bot malang berkenaan.

Muda berkata, walaupun keadaan laut agak bergelora ketika ini namun gerak hatinya kuat mengatakan anak keempatnya itu daripada sembilan beradik bersama sudara-maranya yang lain masih selamat berada di dalam bot.

Ibu Azuari, Fatimah Awang, 65, turut mengakui naluri hatinya masih merasakan anaknya itu yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak berusia antara 10 hingga 16 tahun masih lagi ‘ada’ tetapi ditimpa kesulitan hingga bot berkenaan masih tidak kembali ke darat.

“Harap dalam tempoh terdekat, mereka berjaya dijumpai…mudah-mudahan tak ada benda buruk berlaku apatah lagi hari raya pun sudah dekat. Saya dan suami mahu beraya dengan Azuari,” katanya ketika diziarahi di rumahnya di Kampung Geliga.

Isteri Azuari pula, Siti Fatimah Abdul Ghani, 40, yang masih trauma berkata, dia hanya mampu memanjatkan doa agar suaminya itu pulang segera dan dapat menghabiskan ibadah puasa bersama-sama keluarga.

“Saya harap dia cepat balik,” katanya ringkas sambil menyapu air mata kerana tidak dapat menahan sebak.

Azuari tinggal di Kampung Paya Berenjut sementara Abdul Wahab yang juga memiliki empat orang anak bersama dua lagi mangsa lain yang masing-masing mempunyai seorang anak tinggal di Kampung Geliga Pantai.

Sunday, September 28, 2014

Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Kemaman berjalan dengan baik.


Dato’ Seri Ahmad Shabery Cheek selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian telah menjayakan mesyuarat agung tersebut bersama Naib Ketua, Datuk Wan Ahmad Nizam Hamid dan seluruh Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian dan para perwakilan dari cawangan-cawangan dalam Bahagian Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus yang juga Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT) Dato’ Basir Ismail mewakili BPUNT ke persidangan itu.

Shabery sewaktu berucap di akhir sidang menyifatkan perjalanan mesyuarat agung berjalan dengan baik demi untuk menuju ke arah yang lebih penting lagi iaitu kemenangan UMNO dan Barisan Nasional berterusan sehingga ke Pilihanraya Umum (PRU) ke 14.

Semua pihak telah memberi kerjasama yang baik bagi memastikan Umno terus kuat dan utuh.

Baginya, Jawatan memanglah datang dan pergi, hatta kedudukannya sebagai Menteri pun pada bila-bila masa pun beliau bersedia setiap masa untuk menerima hakikat keputusan pucuk pimpinan.

Beliau yakin dan mahu UMNO Kemaman terus dapat dipimpin oleh Dato’ Seri Ahmad Said untuk meneruskan legasi sejak zaman kempemimpinan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad lagi.

Apa yang penting ialah UMNO dan BN terus diyakini rakyat untuk memartabatkan perjuangan demi agama, bangsa dan negara tercinta.

Perjalanan mesyuarat yang baik di seluruh bahagian negeri Terengganu membuktikan UMNO Terengganu terus mantap walaupun terdapat sedikit 'ujian' sebelum ini.


Diadaptasi -  teganukita.my

Posting Paling Glamer @Blog Raktra