Blog Raktra @Facebook

Terkini di blog Raktra

Sunday, June 28, 2015

4 nelayan Kemaman dikhuatiri hilang di laut

Oleh: RAIHAM MOHD SANUSI
KEMAMAN – Sebuah bot dinaiki empat nelayan yang keluar menangkap ikan di sekitar perairan Pantai Geliga dikhuatiri hilang di laut selepas tidak pulang dan gagal dihubungi sejak awal pagi Jumaat lalu.

Kesemua mangsa yang merupakan saudara-mara iaitu Azuari Muda @ Abu Bakar, 41; Mohd Zawawi Seman, 36, dan tekong bot, Abdul Wahab Tekak, 57, serta anaknya, Mohd Nasri Abdul Wahab, 29, keluar ke laut pada jam 6 pagi pada 21 Jun lalu.

Kali terakhir bot kelas B yang dinaiki kesemua mangsa dilihat oleh nelayan lain sedang menangkap ikan dalam jarak lebih kurang enam batu nautika daripada Pantai Geliga, dekat sini, pagi jam 3.30 petang Khamis lalu.

Namun, lebih enam jam kemudian iaitu kira-kira jam 12.30 tengah malam kesemua mangsa gagal dihubungi oleh ahli keluarga dan mereka tidak pulang sehingga pagi Jumaat.

Bapa Azuari, Muda@Abu Bakar Salleh, 67, berkata, berikutan gagal dihubungi dia bertindak mencari di jeti Kampung Geliga kira-kira jam 7 pagi namun hampa apabila pemilik jeti tempat bot anaknya itu berlabuh memberitahu bot yang dinaiki anaknya itu tidak muncul.

“Namun hingga ke pagi semalam (Sabtu), bot itu tetap tidak sampai-sampai jadi saya minta tolong pemilik bot laju dan dia pergi meninjau sekitar kawasan bot anak kali terakhir dilihat iaitu enam batu nautika dari Pantai Geliga.

“ Tapi kelibat bot tidak ditemui jadi saya buat laporan polis pada jam 11.30 pagi di Balai Polis Chukai untuk mohon bantuan,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kampung Geliga, semalam.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat mangsa segera dilancarkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) mula dilancarkan petang kelmarin menggunakan dua buah Kapal Maritim (KM) iaitu KM Kilat dan KM Gemia dengan tumpuan kerja mencari dilakukan di sekitar kawasan yang dipercayai tempat biasa bot berkenaan menangkap ikan.

Usaha mencari dipergiatkan lagi apabila sebuah bot nelayan yang diketuai seorang tekong dan 11 awak-awak mula bergerak ke laut kira-kira jam 9.30 pagi semalam dengan membawa bersama bekalan makanan untuk tempoh seminggu bagi membantu pihak Maritim mencari bot malang berkenaan.

Muda berkata, walaupun keadaan laut agak bergelora ketika ini namun gerak hatinya kuat mengatakan anak keempatnya itu daripada sembilan beradik bersama sudara-maranya yang lain masih selamat berada di dalam bot.

Ibu Azuari, Fatimah Awang, 65, turut mengakui naluri hatinya masih merasakan anaknya itu yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak berusia antara 10 hingga 16 tahun masih lagi ‘ada’ tetapi ditimpa kesulitan hingga bot berkenaan masih tidak kembali ke darat.

“Harap dalam tempoh terdekat, mereka berjaya dijumpai…mudah-mudahan tak ada benda buruk berlaku apatah lagi hari raya pun sudah dekat. Saya dan suami mahu beraya dengan Azuari,” katanya ketika diziarahi di rumahnya di Kampung Geliga.

Isteri Azuari pula, Siti Fatimah Abdul Ghani, 40, yang masih trauma berkata, dia hanya mampu memanjatkan doa agar suaminya itu pulang segera dan dapat menghabiskan ibadah puasa bersama-sama keluarga.

“Saya harap dia cepat balik,” katanya ringkas sambil menyapu air mata kerana tidak dapat menahan sebak.

Azuari tinggal di Kampung Paya Berenjut sementara Abdul Wahab yang juga memiliki empat orang anak bersama dua lagi mangsa lain yang masing-masing mempunyai seorang anak tinggal di Kampung Geliga Pantai.

No comments:

Posting Paling Glamer @Blog Raktra